Selidikinews.com-Sudah menjadi kebiasaan pada setiap tanggal 12 Rabiul Awal tahun Hijriyah sempena hari kelahiran Nabi Muhammad SAW, umat Islam di seluruh dunia akan menyambut hari ini dengan pelbagai aktiviti. Setiap tempat ada keistimewaan dan cara tersendiri bagi menyambut hari Maulidur Rasul ini. Di sini, di Geulumpang Samlakoe Kec. Baktiya, sambutan yang diadakan adalah seperti zikir, selawat dan kenduri maulid sebagai bukti akan rasa cinta kepada Rasulullah Muhammad SAW.
Warga kampung Geulumpang Samlakoe menyambut Maulidur Rasul pada hari ini – Selasa 6/12/2022 – dengan meriah sekali. Perayaan Maulidur Rasul tersebut berlangsung di halaman meunasah (Balai desa) setempat. Majlis tersebut turut dihadiri para tamu undangan dari beberapa kampung.
Pada majlis tersebut, telah tampil kumpulan zikir iaitu kumpulan Tajidul Muktadin yang memimpin zikir dalam Majlis Maulidur Rasul di kampung ini pada hari ini. Kumpulan zikir ini adalah merupakan wakil dari Dayah Darul Ulum Geulumpang Samlakoe. Zikir-zikir yang dipimpin telah membuat warga kampung begitu menghayati tentang kehidupan dan perjuangan Nabi kita, Muhammad SAW dalam memperjuangkan Islam sejak Baginda lahir hingga wafat.
Warga kampung Geulumpang Samlakoe turut merasa sangat gembira dan bersemangat menyambut hari Maulidur Rasul kali ini. Sambutan majlis Maulid Nabi kali ini pun berjalan lancar dan baik seperti yg direncanakan warga kampung.